SESUNGGUHNYA Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia.
Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.
Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredai-Nya.
Islam menyediakan kaedah penyelesaian yang bukan sahaja praktikal malah dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat. Sebagai agama yang praktikal, Islam menyediakan solusi kepada pelaksanaan sistem insurans yang selari dengan prinsip syariah Islam.
Tabarru’ adalah antara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru amalan bersedekah ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam.
Ini kerana ia adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini. Antaranya maksud firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)
No comments:
Post a Comment